Lambakan Produk Tiruan

Menjual produk tiruan menjadi satu kesalahan. Malah terdapat peruntukan undang-undang yang jelas di bawah Akta Perihal Dagangan 1972, jika sabit kesalahan, mereka yang menjual produk tiruan boleh dikenakan hukuman denda RM100 ribu atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Ironinya, hukuman tersebut langsung tidak menimbulkan rasa takut kepada segelintir pihak. Mungkinkah hukuman tersebut terlalu ringan berbanding dengan pulangan yang mereka peroleh sehinggakan kegiatan ini begitu sukar dibenteras di pasaran terbuka? Atau mungkinkah kegiatan ini dilindungi orang tertentu menyebabkan peniaga produk tiruan bercambah seiring dengan meningkatnya tapak bazar larut malam atau lebih dikenali sebagai Down Town.

Kegiatan menjual produk tiruan di pasaran terbuka membabitkan produk berjenama antarabangsa cukup mendapat sambutan pembeli. Daripada aksesori, alat mekap, beg tangan wanita, baju jam tangan, minyak wangi sehinggalah kepada seluar jeans – semuanya dijual di pasaran terbuka cukup berleluasa.

Jenama terkenal yang biasanya dijual di butik eksklusif yang pasti harganya mencecah ribuan ringgit, kini menjadi pakaian jalanan (street wear) – bermakna sesiapa sahaja boleh memakainya. Soal sama ada produk tersebut tiruan bukan lagi satu persoalan. Dari segi mutu sememangnya kita ketahui tetapi produk tiruan ini cukup berbaloi dengan harga yang ditawarkan. Bayangkan sebuah beg tangan wanita berjenama antarabangsa seperti Louis Vuitton, Prada, Fendi, Gucci, Channel, Dior, dan sebagainya yang harganya mencecah ribuan ringgit, seseorang boleh memilikinya (produk tiruan) dengan harga tidak sampai pun RM100 di mana-mana gerai jalanan terutamanya di bazar larut malam. Malah jika pandai tawar menawar, harganya jauh lebih murah.


Sumber: Rencana ini diambil daripada Dewan Masyarakat Ogos 2011.
Kandungan                         rencana telah disunting daripada kandungan asal.