Memiliki
barangan berjenama menjadi citarasa kebanyakan orang yang mengutamakan lambang
prestij. Antara barangan yang menjadi idaman ialah pakaian, beg tangan, kasut,
jam tangan, cermin mata hinggalah kepada perisian komputer. Namun tidak semua
yang mampu memilikinya kerana harga yang mahal. Untuk memenuhi tuntutan itu
mereka sanggup membeli barangan tiruan yang hampir serupa dengan jenama asli.
Walaupun penguatkuasaan sering dilakukan, namun untuk membanteras kegiatan
tersebut mestilah bermula daripada pengguna sendiri."Jika tidak ada
permintaan, tidak akan ada sindiket-sindiket tersebut untuk terus
beroperasi," kata Timbalan Ketua Pengarah Operasi Bahagian Penguatkuasa
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN&HEP)
Iskandar Halim Sulaiman.
BARANGAN
TIRUAN MUDAH MEMASUKI PASARAN
Pasaran
globalisasi hari ini juga menyebabkan barangan tiruan mudah memasuki ke dalam
negara. Dengan kemudahan logistik, barangan yang dikeluarkan di negara lain
dapat dihantar dalam masa yang singkat dan mudah. Pertambahan kontena barangan
yang sampai di pelabuhan dan lapangan terbang merupakan satu cabaran dan
bebanan kepada pihak berkuasa untuk mengenalpasti kandungannya. Keadaan itu
bertambah rumit apabila pemilik barangan membuat pengisytiharan palsu terhadap
kandungan kontena yang dibawa masuk. Kaedah lain yang sering digunakan ialah
melalui penghantaran cepat, bas ekspres dan keretapi. Malah kecanggihan
teknologi masa kini membolehkan pesanan dan bayaran barangan dibuat melalui
'online' menerusi laman web perniagaan yang boleh dilayari pengguna. Produknya
boleh dimuat terus termasuk produk seperti karya filem, karya muzik, karya seni
dan karya terbitan. Beliau berkata barang-barang tiruan ini kebiasaannya dibawa
masuk melalui pintu-pintu sempadan dan pelabuhan-pelabuhan sama ada secara sah
ataupun haram melalui dua bentuk iaitu separuh siap atau siap sepenuhnya. Bagi
barangan yang separuh siap, ia akan menjalankan proses pembungkusan dan
pelabelan sebelum diedarkan di pasaran. Modus operandi kegiatan pengedaran dan
penjualan barangan tiruan ini biasanya dengan tidak menggunakan sebarang resit
penjualan dan pembayaran hanya dibuat secara tunai.
MEMBEZAKAN
BARANG TIRUAN DENGAN ASLI
Bukannya
mudah untuk membezakan barangan tiruan dengan asli. Perkembangan teknologi
dengan penggunaan mesin yang canggih dapat menghasilkan barangan tiruan yang
hampir serupa dengan barangan asli, membuatkan orang ramai sukar membezakannya.
Ciri-ciri perbezaan kadangkala sukar dilihat dengan mata kasar dan perlu
menggunakan peralatan tertentu untuk melihat ciri-ciri khas yang digunakan oleh
empunya cap dagangan. Bagi pengguna pula, katanya secara kasar mereka boleh
mengesyaki barangan tersebut sebagai tiruan berdasarkan harga, kualiti, jaminan
pembelian, tempat penjualan sama ada di kaki lima, pasar malam, pasar raya ataupun
kedai wakil penjual yang sah. Pembeli juga sebaik-baiknya membeli suatu
barangan yang berjenama dan asli daripada pengedar sah yang mempunyai jaminan
kualiti dan bukan berdasarkan kepada barangan yang murah. Antara jenis-jenis
barangan tiruan yang banyak terdapat di pasaran ialah pakaian, makanan,
ubat-ubatan, alat ganti kereta, jam tangan, alat tulis, bahan petroleum,
barangan kulit, rokok, arak, kasut, cermin mata, barangan elektrik, alat
komunikasi, perkakasan komputer, cakera optik dan pita video.
KEJAYAAN
PENGUATKUASAAN
Pada
tahun 2012 sebanyak 2,720 kes berjaya ditumpaskan dengan nilai rampasan
sebanyak RM13.3 juta. Jumlah itu katanya menurun berbanding tahun sebelumnya
iaitu sebanyak 3,914 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM78.1 juta. Penurunan
ini hasil penguatkuasaan yang berterusan dengan kerjasama agensi-agensi
penguatkuasaan lain, pihak industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga
media yang membantu memberi pendidikan pengguna. Daripada jumlah itu, cakera
optik merupakan rampasan tertinggi dengan RM3.148 (1,122 kes) diikuti barangan
elektrik RM2.54 juta (23 kes), minuman keras RM2.01 juta (dua kes), pakaian
RM1.234 juta (517 kes) manakala rampasan paling sedikit ialah alat tulis
sebanyak RM29,386 dengan 13 kes. Penjualan barangan tiruan ini sukar dihapuskan
kerana dipayungi oleh sindiket besar dengan modal yang banyak.
KESEDARAN
PENGGUNA MASIH RENDAH
Kesedaran
masyarakat Malaysia mengenai barangan tiruan masih terlalu rendah terutama di
kalangan mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah termasuk remaja. Kita
tidak dapat dinafikan pengaruh iklan yang berbentuk global dan eksklusif
menjadi ikutan atau dorongan kepada pembeli yang mampu, namun yang tidak mampu
mereka akan mencari barangan tiruan. Tambahan terdapat barangan berjenama
tiruan yang hampir-hampir menyerupai barangan yang asli yang boleh dibeli
dengan harga yang berpatutan dengan kemampuan mereka. Usaha itu akan terus
dipertingkatkan dan kita berharap suatu hari nanti kesedaran rakyat Malaysia
terhadap barangan tiruan akan terus meningkat Masyarakat diingatkan agar
berfikiran jauh sebelum membeli kerana lambakan barangan tiruan boleh memberi
kesan kepada ekonomi negara. Pembeli harus menjadi pengguna yang bijak, jangan
terlalu taksub dengan jenama dan bersikap "ukur baju di badan sendiri".
Sumber:
(Bernama) http://kpdnkk.bernama.com/newsBm.php?id=191104&