Ubat Tiruan


 MASALAH ubat tiruan merupakan senario global yang memberi risiko negatif terhadap kesihatan yang semakin berleluasa. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mendefinisikan ubat tiruan sebagai produk tiruan yang disengajakan dan berlakunya penipuan label, pengenalan untuk menjadikannya seakan-akan yang tulen. Ini termasuklah kandungan dan kuantiti yang salah serta pemalsuan pembungkusan. WHO menganggarkan sebanyak enam hingga sepuluh peratus iaitu bersamaan USD 35 bilion (RM 121.36 bilion) ubat-ubatan yang berada di pasaran dunia adalah tiruan. Angka tersebut adalah lebih tinggi di beberapa negara terutamanya di negara-negara sedang membangun di seluruh dunia. Pada tahun 2004, Pertubuhan Kastam Sedunia (WCO) melaporkan anggotanya telah menjalankan lebih daripada 4,000 penyitaan melibatkan 166 juta ubat palsu atau cetak rompak. Statistik rampasan ubat tidak berdaftar pada 2007 adalah sejumlah 21,000 barangan bernilai RM29 juta sementara 8,600 barangan bernilai RM2.7 juta lagi berjaya dirampas sehingga bulan Jun 2008. Melalui pengalaman bahagian Penguatkuasa Farmasi, jenis ubat palsu yang popular ialah ubat perangsang seks, ubat menguruskan badan, ubat sakit sendi, ubat mengurangkan lemak, ubat untuk mengawal alahan, gatal-gatal dan ubat selesema serta batuk. Ketua Penolong Pengarah Farmasi (Kuatkuasa), Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia, Mazlan Ismail,memberitahu pemalsuan dilakukan apabila produk tiruan itu menggunakan jenama dan produk yang sama dan menjualnya dengan nama produk tulen atau asal tanpa pengetahuan pengeluar produk tulen. Ubat palsu ini menyerupai ubat yang tulen yang sememangnya telah diuji serta diluluskan untuk digunakan oleh masyarakat Malaysia. “Ubat tiruan tersebut boleh dianggap sebagai parasit kerana menggunakan label serta nama dagangan yang sama dengan penyediaan tulen tetapi dikilangkan di premis yang tidak diluluskan serta menggunakan bahan mentah yang tidak berkualiti,”jelasnya ketika sidang media anjuran Pfizer (Malaysia) Sdn. Bhd baru-baru ini. Mazlan seterusnya menjelaskan Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan melalui Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan bertanggung jawab melalui peruntukan undang-undang mendaftar semua produk farmaseutikal yang ingin dipasarkan. “Pada dasarnya semua produk farmaseutikal yang didaftarkan adalah selamat, berkualiti dan berkesan. Sikap tamak haloba serta tidak bertanggungjawab di kalangan segelintir masyarakat ini boleh menyebabkan kesihatan pengguna terjejas atau pengguna menghadapi risiko maut,” jelasnya. Satu-satunya tujuan ubat tiruan dihasilkan ialah untuk mengaut keuntungan. Berbanding dengan ubat tiruan, ubat tulen telah dihasilkan melalui operasi pengilangan yang diakui benar-benar sesuai dengan operasi pengilangan ubat serta ubat tersebut diakui selamat, berkesan dan berkualiti. Di Malaysia, selain daripada pengilangan ubat secara haram yang berjaya terlepas dari dijejaki pihak berkuasa, terdapat juga kes-kes penyeludupan ubat secara haram yang tidak dapat dikesan. sikap pengguna “Dengan sikap pengguna yang mempunyai tahap kesedaran yang lemah dan masih membeli ubat-ubatan tiruan di pasaran menjadikan kes-kes ubat tiruan semakin meningkat,” katanya. Ubat tiruan memberi implikasi kesihatan khususnya keselamatan pesakit, meningkatkan kematian dan taburan kawasan miskin semakin meluas. Jelas Mazlan, ia juga memberi kesan kepada pembangunan nasional kerana ia membahayakan kredibiliti itu sistem kesihatan dan pembangunan industri ubat-ubatan. Tambahnya, jika perkara ini berlarutan dan tidak dikawal masyarakat akan lambat laun boleh menjadi kurang yakin terhadap keberkesanan pengambilan ubat sebagai penawar penyakit termasuk ubat tulen. Seperti barang-barang tiruan lain, dengan kos yang rendah sebagai modal menyediakan ubat tiruan juga mempengaruhi peningkatan kes, malah bukti akan hilang setelah produk palsu digunakan menggalakkan lagi aktiviti pengeluaran. Aduan daripada pengguna sendiri banyak membantu pihak kementerian melakukan siasatan terhadap ubat tiruan. “Antara langkah awal bagi mengenal pasti ubat tiruan adalah melalui pemerhatian kepada bungkusan luar seperti kotak ubat, bentuk dan rupa ubat serta kandungan ubat. Biasanya kualiti pada cetakan, bahan kotak, rupa bentuk ubat dan sebagainya pada ubat tiruan adalah pada tahap rendah. Belilah ubat-ubat dari pengedar yang sah dan boleh dipercayai.

Dipetik dari http://www.ehoza.com

No comments:

Post a Comment